AgamaRencana

Konsep Jihad Dalam Islam

This section contains some shortcodes that requries the Jannah Extinsions Plugin. Install it from the Theme Menu > Install Plugins.

[dropcap]J[/dropcap]ihad fi sabilillah atau jihad di jalan Allah bermaksud amal-amal yang diredai Allah sama secara fizikal mahupun spiritual. Menurut Jamaluddin al-Qasimi, sabilillah bererti sesuatu yang dijadikan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan menegakkan agama-Nya. Misalnya mendirikan sekolah, membeli kitab untuk para ulama, mendermakan untuk merealisasikan rancangan yang baik dan apa sahaja yang berbentuk kebajikan tanpa mengira masa atau tempat.

Berdasarkan keterangan di atas, yang dikatakan jihad fi sabilillah ialah berusaha, berkorban dan berjuang sama ada dengan lidah (perkataan), harta benda (kekayaan) atau dengan perbuatan (amal kebajikan) atau melancarkan jihad perang sama ada memerangi musuh-musuh Allah, musuh-musuh Islam atau musuh-musuh yang tidak diketahui atau memerangi hawa nafsu yang buruk dan kotor pada diri sendiri, bagi menegakkan yang hak (kebenaran) dan keadilan, dan bagi menghancurkan serta melenyapkan kemungkaran (keburukan) dan kebatalan serta kekufuran untuk mencapai jalan yang diredai Allah.

Islam sejak awal seruan dakwahnya sehinggalah munculnya masyarakat Islam dan seterusnya terbentuk pula negara Islam tidak dapat dipisahkan dari jihad dalam pengertiannya yang umum; iaitu perlunya curahan daya dan tenaga kekuatan untuk menghadapi musuh-musuh yang menghalang bagi mencapai matlamat sebagai seorang muslim, masyarakat muslim dan negara Islam.  Jihad adalah kepastian dari Islam atau lebih jelas jihad ialah natijah yang pasti dan tabii dalam diri seorang muslim, masyarakat muslim dan negara Islam.

Islam bererti penyerahan diri kepada Allah.  Menurut Islam setiap makhluk, sama ada di langit atau di bumi semuanya sujud menyerah diri kepada Allah. Menurut Islam kesemuanya itu adalah ditundukkan oleh Allah Maha Pencipta demi keperluan hidup insan di bumi. Demikian menurut Islam bahawa Allah telah memberikan mandat penuh kepada manusia untuk mempergunakan segala ciptaan bagi membangun tamadunnya.  Allah Maha Pencipta telah menetapkan dalam perkembangan sucinya tentang kedudukan manusia dalam semesta ini sebagai tuan yang menguasai dan memerintah di atas muka bumi ini.  Tetapi segala makhluk dan ciptaan Allah hanya rela dipergunakan oleh manusia seperti yang diarahkan oleh Allah Maha Penciptanya, dan dikuasai demi untuk membangun tamadunnnya, jika sekiranya manusia itu sanggup patuh, menyerah dan sujud kepada Allah SWT.  Dengan penyerahan dan sujudnya manusia kepada Allah dalam sepanjang tugas dan risalahnya untuk membina tamadun itu, maka akan selaraslah perjalanan roda di alam semesta ini bertepatan dengan sunnatullah dan bertepatan dengan fitratullah, fitrah manusia dan fitrah alam semesta.  Hanya dengan penyerahan diri dan sujud kepada Allah; iaitu kepada keesaan, keagungan dan kebesaran Allah, kepada ilmu dan hikmat, kekuasaan dan iradah Allah, kepada kerajaan, pemerintahan dan kehakiman Allah, maka tamadun umat manusia dan tamadun dunia akan benar-benar menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan di dunia dan seterusnya menjadi asas kepada kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di akhirat yang kekal abadi.

Islam adalah kalimatullah, nurullah dan hidayatullah.  Jalan yang lurus dilalui oleh pengajaran dan pengembaraan insan dan itu manhaj Rabbani. Natijahnya bahawa Islam adalah rahmat Ilahi yang tidak dapat dipisahkan dari kehidupan manusia.  Maka Islam adalah satu hakikat ketuhanan yang tidak sekali-kali boleh dipisahkan dari manusia sebagai hamba-Nya yang terpenting di dunia ini, oleh kerana itu, hanya Islam yang akan melimpahkan dan mencurahkan kebaikan dan kebajikan kepada umat manusia.  Islam yang sedemikian sifatnya sudah pasti sangat perlu disampaikan, disebarkan, diperjuangkan dan dijihadkan.  Setiap manusia muslim yang menerima Islam dengan penuh kerelaan hati, yang menghayati jiwa Islam dengan sendirinya memikul tugas; iaitu berjihad kerana Islam untuk kesejahteraan manusia sejagat.

Ringkasnya, jihad adalah natijah yang pasti dan tabii dari keislaman dan kemusliman. Itulah tenaga penyambung tugas Rasul untuk meninggikan kalimatullah, bagi menegakkan agama Allah.  Jihad adalah tenaga yang mengekalkan keutuhan umat Islam yang menjamin terselamat dari pencerobohan dan kezaliman.

Jihad dalam pengertian di atas jelas menunjukkan penggunaan senjata, nyawa, harta dan sebagainya untuk menghadapi musuh adalah salah satu daripada bentuk jihad qital (jihad melalui peperangan).  Tetapi terdapat beberapa jihad lain yang lebih utama untuk diperhatikan oleh kita umat Islam di Malaysia seperti:

  • Jihad memerangi hawa nafsu.
  • Jihad dalam melakukan perubahan pada diri daripada buruk kepada baik.
  • Jihad dalam konteks mencari keredaan Allah dengan mengikut seluruh tuntutan syarak.

HUKUM JIHAD

Hukum jihad berbeza-beza mengikut perbezaan setiap bahagian dan jenisnya. Hukum jihad nafsu adalah fardu ain ke atas setiap individu muslim, kerana itulah penyelamat dan pengawal kepada setiap amal ibadat.

Manakala hukum jihad zahir terutama jihad lisan dan kalam, jihad ilmu dan taklim, jihad wang dan harta kekayaan terbahagi kepada tiga bahagian:

  1. Fardu kifayah: Iaitu kewajipan yang tertanggung ke atas masyarakat Islam seluruhnya. Sekiranya kewajipan ini tidak tertunai, maka setiap anggota masyarakat bertanggungjawab dan berdosa.  Tanggungjawab ini hanya akan terlepas manakala ada seseorang atau sekumpulan ataupun segolongan daripada anggota masyarakat itu yang dapat menunaikan keperluan atau tuntutan mesyarakat Islam yang tersebut mengikut penilaian mereka yang ahli dalam bidang pentadbiran dan perancangan kemajuan masyarakat.
  1. Fardu ain: Iaitu kewajipan setiap anggota masyarakat yang dilantik oleh masyarakat sesuai dengan keahliannya dalam setiap bidang.
  1. Sunat: Iaitu galakan kepada sesiapa sahaja dari anggota masyarakat yang berusaha meningkatkan pengabdiannya kepada Allah untuk berjihad lebih dari batas yang difardukan.

HUKUM JIHAD DI MEDAN PERANG

Hukum jihad di medan perang dengan kekuatan senjata dan tentera terbahagi kepada dua bahagian:

  1. Fardu ain ke atas setiap individu muslim apabila pemerintah atau ketua negara mengisytiharkan atau melancarkan perang jihad untuk mempertahankan diri (difa’) setelah musuh menyerang atau seseorang itu telah bernazar untuk berjihad fi sabilillah.
  2. Fardu kifayah ke atas seluruh anggota masyarakat seperti yang dapat difahami dari firman Allah SWT yang bermaksud:

”Dan tidaklah betul dan elok orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah)”. (At-Taubah: 122)

Jihad fi sabilillah merupakan amalan yang begitu istimewa dalam Islam sehingga orang mati kerana tugasan ini disebut sebagai mati syahid dan mempunyai kelebihan yang tersendiri. Mengikut hukum fiqah orang yang mati syahid tidak wajib dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

”Dan jangan sekali-kali kamu menyangka orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. Dan juga mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan orang-orang yang masih tinggal di belakang mereka bahawa mereka tiada rasa takut dan tidak pula menanggung dukacita”. (Ali-Imran: 169-170)

 

JIHAD NAFSU

Al-Quran telah menyatakan persoalan jihad secara umum dan jihad besar adalah merupakan jihad nafsu. Sebagaimana yang diketahui umum manusia diciptakan daripada dua unsur; iaitu jasmani yang bersifat lahir dan rohani yang bersifat ghaib.  Maka dengan sendirinya kehidupan manusia mempunyai dua bidang.  Begitu juga musuh manusia mempunyai dua bentuk; bentuk zahir (syaitan al-ins) dan bentuk ghaib (syaitan al-jin).  Al-Quran menerangkan secara jelas dan terperinci segala taktik dan teknik syaitan, segala tipu helah dan godaannya untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah yang lurus.  Perang kemusnahan iblis dan syaitan terhadap manusia bukanlah pada unsur jasmani tetapi unsur kerohanian yang menjadi asas kepada kewujudan insan yang hakiki iaitu untuk membinasakan:

  • ketulenan akidah tauhid.
  • keikhlasan ibadah dan ubudiah.
  • kejernihan dan kesucian akhlak serta ketinggian budi.

 

Sekiranya berlaku kemusnahan pada unsur kerohanian insan, maka secara langsung merosakkan manusia dalam semua aspek kegiatan hidupnya di samping kerugian yang hakiki di akhirat.

Selain iblis dan syaitan yang menjadi musuh ghaib, hawa nafsu yang berada di dalam diri setiap orang itu juga boleh menjadi musuh secara tidak disedari.  Nafsu merupakan kubu iblis dan syaitan dalam melancarkan serangan kepada manusia.  Kehidupan rohani dan kesuburannya yang menjadi matlamat setiap insan rabbani memerlukan mereka mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap iblis dan syaitan serta melakukan serangan demi serangan untuk mempertahankan diri daripada ancamannya.  Manakala jihad nafsu merupakan tempat permulaan bagi setiap jihad-jihad yang lain.  Hal ini semestinya diberikan terlebih dahulu, lantaran itu ia disebut sebagai jihad besar atau jihad agung.

Jihad nafsu menjadi jihad agung kerana:

  • Medan perjuangannya yang luas dan tidak terbatas.
  • Masa perjuangannya tidak menentu dan tiada hadnya.
  • Kesukaran pejuangan kerana pada hakikatnya ialah perjuangan seseorang berhadapan dengan dirinya sendiri.
  • Kedudukan musuh yang tidak dapat dijangkau dengan pancaindera.
  • Jihad nafsu merupakan pengawas kepada jihad lain dan seterusnya menjadi kayu ukur bagi setiap perjuangan.
  • Ia merupakan asas kepada jihad-jihad lain terutamanya jihad di medan perang dengan kekuatan senjata atau tentera.

SALAH FAHAM KONSEP JIHAD

Terdapat beberapa salah tanggapan atau salah faham tentang konsep jihad yang sebenar mengikut ajaran Islam sehinggakan berlaku tindakan-tindakan seperti berikut:

  • Berjihad tanpa mempedulikan orang awam yang tidak berdosa.
  • Melaksanakan jihad yang menyebabkan orang bukan Islam menganggap Islam sebagai agama pelampau dan ganas.
  • Berjihad melawan pemerintah Islam dan bertindak menyerang rumah ibadat bukan Islam seperti kuil dan gereja.
  • Berjihad membabi-buta semata-mata tanpa ilmu dengan alasan untuk mendapat pahala mati syahid.
  • Berjihad bertujuan untuk membalas dendam ke atas orang kafir dan melibatkan orang yang tidak berdosa.
  • Tidak membuat persiapan rapi dengan bersungguh-sungguh secara taktikal dan teknikal.

JIHAD MEMPERSIAPKAN KEKUATAN UMAT ISLAM

Terdapat beberapa unsur kekuatan yang perlu diambil perhatian umat Islam iaitu:

  • Kekuatan ilmu dan Penguasaan sains dan teknologi.
  • Kekuatan akidah atau pegangan prinsip/falsafah yang mantap.
  • Kekuatan budi pekerti yang baik.
  • Kekuatan ekonomi.
  • Kekuatan susunan perdamaian.
  • Kekuatan ketenteraan.

TINDAKAN GERAKAN MILITAN NEGARA ISLAM (IS) YANG TIDAK BERTEPATAN DENGAN AJARAN ISLAM

Dakwaan gerakan militan IS bahawa mereka sedang berjihad tidak dapat diterima kerana tindakan-tindakan berikut:

  1. Mempertontonkan tindakan kejam terhadap musuh.

Tokoh besar tabii (murid para sahabat Nabi s.a.w) iaitu al-Zuhri menyatakan:
“Tidak pernah dibawa kepada Rasulullah satu kepala pun, tidak sekalipun dalam Perang Badar.  Pernah dibawa kepala kepada (Khalifah) Abu Bakar, beliau membantahnya”.  (Sunan Said bin Mansur, al-Mu’jam al-Kabir oleh al-Tabarani, Marasil Abi Daud dan Sunan al-Baihaqi).

  1. Membunuh orang awam yang tidak berdosa.
  2. Mengisytiharkan khalifah yang tidak bertepatan dengan syarak dan menyeru seluruh umat Islam memberi baiah.
  3. Mengkafirkan dan menghalalkan darah orang yang tidak memberi baiah kepada mereka.
  4. Menggesa umat Islam berjihad untuk mati syahid dengan tidak berlandaskan syarak.
  5. Mencemarkan imej Islam. 

FATWA MENGENAI GERAKAN MILITAN IS

Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan menyenaraihitamkan kumpulan militan IS yang bertopengkan jihad dalam usaha membendung penyertaan rakyat Malaysia menyertai perang di Syria dan Iraq.  Pengerusinya, Tan Sri Dr Abd Shukor Hussin berkata langkah itu bertujuan menghindarkan orang Islam Malaysia daripada terpengaruh dengan gerakan yang melaungkan jihad.  Kita akan bincang lebih lanjut (langkah menyenaraikan gerakan militan).  Fokus kita sekarang ialah menahan, tidak menggalak dan mengeluarkan fatwa haram menyertai perjuangan militan Negara Islam”, jelas beliau. (Berita Harian 24 Oktober, 2014). Beliau menambah bahawa IS memporak-peranda negara dan umat Islam.  Beliau berkata:

Oleh itu, umat Islam dinasihatkan tidak terpengaruh dengan IS kerana gerakan itu memporak-perandakan negara dan umat Islam.  Ia kerana, yang membunuh dan yang dibunuh adalah umat Islam”.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang hadir bersama di Multaqa Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Seluruh Malaysia 2014 di Terengganu semalam berkata, jihad di Syria dan Iraq bukan mati syahid.  “Selepas bermuzakarah dan mengemukakan hasil kajian serta hujah yang bersandarkan nas, ulama sepakat merumuskan perjuangan IS atas nama jihad adalah sia-sia dan bukan tergolong sebagai mati syahid,” katanya.  Jamil berkata, tanggapan mengatakan mereka berjuang atas nama jihad tidak tepat, sebaliknya ia kematian yang sia-sia.

Justeru itu, atas nama jihad ramai akan terpengaruh dan sanggup mati kerana dianggap syahid sedangkan ia sia-sia,” katanya.

Jumlah suspek militan Malaysia yang ditahan Bahagian Anti Pengganas kini meningkat kepada 22 orang sejak 28 April lalu.  Putrajaya juga mengumumkan akan memerangi kumpulan militan IS dan membendung penglibatan rakyat dalam menyertai gerakan tersebut.  Sebelum ini juga media melaporkan beberapa rakyat Malaysia yang menemui ajal semasa mengangkat senjata di Syria dan Iraq.

[box type=”warning” align=”” class=”” width=””]

BAHAYA GERAKAN IS KEPADA WARGA ATM

  • Warga hendaklah sentiasa ingat bahawa ikrar taat setia yang dilafazkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.  Ketaatsetiaan yang tidak berbelah-bahagi untuk mempertahankan negara.
  • Penglibatan dalam gerakan ini bercanggah dengan ketaatsetian dan mencemarkan imej dan kredibeliti.
  • Gerakan tersebut tidak berlandaskan ajaran Islam sebenar.
  • Apa jua dakwaan mereka hanyalah untuk mempengaruhi orang yang cetek ilmu dan tidak boleh berfikir secara rasional.
  • Sebarang hujah yang berkaitan agama hendaklah diperolehi daripada sumber yang berautoriti.
  • Tiada jalan pintas untuk mendapat ganjaran syurga di sisi Allah.
  • Mati syahid adalah anugerah Allah SWT yang tidak boleh diperoleh dengan cara membunuh diri sendiri.[/box]

Kesimpulannya, konsep jihad dalam Islam merupakan amalan murni bagi membentuk kesejahteraan dan menyebarluaskan kasih sayang dalam usaha untuk mendapatkan keredaan Allah SWT.  Ia dilaksanakan berdasarkan ketetapan hukum berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.  Justeru, pelaksanaannya hendaklah berdasarkan ilmu dan kefahaman yang sebenar.  Bukan hanya berdasarkan dakwaan dan tindakan melulu semata-mata.

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close