KesihatanRencana

Bahana Dadah

Gejala dadah dan penyalahgunaannya bukanlah satu perkara yang baharu di dalam sejarah peradaban manusia. Dadah seringkali melibatkan tentang pengambilnya akan berhalusinasi atau mabuk, cergas, khayal, dan sebagainya. Penggunaan dadah adalah pekara yang positif jika dos pengambilan di kawal dan dadah juga akan menjadi negatif jika dos yang diambil tidak dikawal dan boleh mengakibatkan kematian.

Pada asalnya dadah digunakan dalam bidang perubatan sebagai tujuan perubatan untuk mengubati pelbagai penyakit yang kritikal dan normal mengikut sukatan yang ditetapkan. Contohnya adalah semasa proses pembedahan di mana dadah morfin digunakan untuk membuatkan pesakit khayal dan tidak merasa sakit, meredakan batuk dan lain-lain lagi.

Di Malaysia, penggunaan dadah dikesan secara rasmi pada awal kurun ke-19 kaum cina yang berhijrah daripada Negara Tanah Besar China ke Tanah Melayu. Semasa penghijrahan, mereka telah membawa bersama budaya negara asal iaitu menghisap dadah candu. Tujuan mereka menghisap candu adalah untuk menghilangkan segala tekanan yang dihadapi semasa bekerja kerana kesan dari menghisap candu membuatkan mereka khayal dan melupakan segala permasalahan yang dihadapi.

Pada tahun 1952, Akta Dadah Berbahaya telah digubal oleh kerajaan berikutan berlakunya penyeludupan dadah candu yang berleluasa tanpa kawalan. Sejurus itu, banyak tangkapan dilakukan dan usaha membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah candu giat dijalankan. Untuk mengendalikan perbicaraan kes tentang dadah candu, kerajaan telah menubuhkan sebuah Mahkamah Khas dan Hakim yang mengendalikan kes tersebut dikenali sebagai Hakim Mahkamah Candu.

Sumber Dadah

Dadah boleh didapati dari sumber semulajadi iaitu dari Pokok Popi atau nama saintifiknya ialah Papaver Somniferum. papaver-somniferum-fr-pdrobot-bPokok ini ditanam di seluruh dunia dan ianya sangat mudah untuk ditemui. Apabila buah popi muda ditoreh, ia akan mengeluarkan getah atau cecair berwarna putih dimana hasilnya  dikumpul dan dikeringkan. Selepas proses pengeringan berakhir ianya akan menjadi Candu Mentah.

Di zaman moden ini, candu mentah boleh di proses secara sintetik dan pembuatannnya adalah mudah dan cepat. Daripada Candu Mentah, akan terhasilnya Dadah Morfin yang memberi kesan kepada otak jika di ambil secara berlebihan tanpa sukatan dan kawalan.

Terdapat satu lagi dadah yang bersifat semulajadi iaitu Ganja. Ganja boleh diperolehi daripada pohon ganja atau nama saintifiknya ialah Cannabis Sativa. Cannabis_sativa_shoot_photo_file_PDB_143KBGanja boleh dikenali dengan nama jalanan seperti Marijuana, Weed, Pot, Hemp, dan sebagainya. Ganja boleh diperolehi dalam bentuk blok kecil dimana ianya sukar untuk dikesan oleh penguatkuasa. Ganja diambil secara hisapan yang sama seperti menghisap rokok atau di sedut melalui alat khas iaitu Bong dan juga rokok paip.

Selain daripada sumber semulajadi, dadah juga boleh diproses dan ianya dikenali sebagai Dadah Sintetik dimana terdapat campuran daripada bahan-bahan yang lain dengan tujuan untuk meningkatkan rasa khayal yang tinggi dan cepat. Antara contoh dadah sintetik ialah seperti Metaphetamine atau Meth, Kokain, Heroin, Ekstasi dan Steroid.

Dadah Dari Pandangan Islam

Mengikut hadis dan nas yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Dawud bermaksud  ‘Rasulullah melarang setiap perkara yang memabukkan’. Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Jabir, Rasulullah bersabda yang bermaksud ‘Apa-apa saja yang memabukkan adalah haram ataupun sedikit’.

Perkataan ‘mabuk’ bukan sahaja merujuk kepada peminum arak, ianya juga ditujukan kepada penagih dadah kerana kesannya adalah sama seperti arak yang memabukkan dan penagihnya mudah untuk hilang pertimbangan terhadap persekitarannya.

Dadah mempunyai pengaruh yang amat kuat kepada fizikal dan emosional penagihnya. Mereka yang terlibat dengan penagihan dadah akan lupa kepada dirinya sendiri, lalai untuk melaksanakan tugas sebagai seorang muslim iaitu solat lima waktu kerana mereka tenggelam di dalam dunia khayal mereka. Dari sudut fizikal pula, penagih dadah jenis syabu, ekstasi, dan heroin, akan mudah marah dan cepat berada di dalam keadaan murung dimana mereka tidak selesa dengan persekitaran mereka. Jika terdapat individu yang tidak sengaja melanggar mereka seperti berlaga bahu, mereka akan cepat naik angin dan kebarangkalian untuk berlaku kecederaan adalah tinggi.

Walaupun di dalam Al-Quran dan Hadis Rasulullah tidak terdapat larangan yang khusus tentang penagihan dadah, tetapi secara umumnya Al-Quran dan Hadis melarang sekeras-kerasnya setiap penganut agama islam untuk mendekatkan diri kepada kemusnahan yang membawa kepada kerosakan diri. Kerosakan diri disini membawa maksud membunuh diri. Islam melarang penganutnya membunuh diri kerana di dalam Firman Allah Taala dalam Surah An-Nisaa ayat 29 yang bermaksud ‘Dan janganlah kamu membunuh dirimu, sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu’.

Di sini dapat ditafsirkan bahawa Allah melarang hambanya untuk mendekatkan diri kepada kemusnahan dan kecelakaan kerana Allah kaya dengan sifat Maha Mengasihani hambanya.

Penyalahgunaan Dadah Dan Kesannya

Pada tahun lepas negara dikejutkan dengan kematian beberapa warganegara Malaysia dan warga asing di dalam konsert Future Music Festival Asia (FMFA) yang pada mulanya berlangsung selama 3 hari tetapi ianya diberhentikan disebabkan kes ini. Menurut laporan berita, mangsa dipercayai telah membeli dadah jenis Syabu dan Meth di luar tapak konsert sebelum masuk ke tapak hiburan tersebut. Mangsa di dapati overdose dan mati dalam keadaan mata terbeliak dan mulut berbuih berikutan kesan dadah tersebut.

Menurut pandangan Ketua Unit Ketagihan, Pakar Psikiatri Hospital Kuala Lumpur Dr Norliza Chemi kesan penggunaan dadah seperti syabu dan meth boleh menyebabkan serangan jantung secara mengejut dan pada masa yang sama overdose terjadi disebabkan dadah yang diambil menyerang sistem pernafasan yang membuatkan otak tidak menerima oksigen yang mencukupi. Selain itu, ianya juga membuatkan fungsi jantung berhenti dan menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri, koma serta kematian. Ditambah pula dengan keadaan di dalam konsert itu yang sesak dan padat membuatkan mangsa tidak boleh bernafas dengan normal.

Selain daripada kes penagih dadah Syabu dan Meth, golongan remaja pada hari ini semakin ‘bijak’ dalam memusnahkan diri sendiri iaitu dengan menyedut gas semburan ubat kebas yang mengandungi bahan kimia Ethylchloride. Terdapat beberapa cara penyedutan gas iaitu dengan menyembur gas berkenaan ke dalam plastik dan ditekup ke mulut serta hidung dan menyedutnya. Laporan Akhbar terkini menerangkan terdapat cara baru untuk menyedut gas berkenaan iaitu dengan menyembur gas ke kolar atau poket baju dan dihidu berulang kali tanpa disedari oleh orang lain. Kesan daripada penyedutan gas tersebut, otak mereka akan mengecut dan gagal berfungsi (brain malfunction). Penagih gas boleh mengalami halusinasi dalam tempoh yang lama.

Kesimpulannya, janganlah kita mendekatkan diri dengan perkara yang merosakkan diri dan juga persekitaran kerana sebagai hamba Allah, menjadi tanggungjawab untuk kita memelihara anggota tubuh badan kita sebagaimana kita dilahirkan suatu ketika dahulu dan begitu juga semasa kita akan pergi menghadap Allah di Padang Mahsyar kelak. Akal dan pemikiran yang sempurna mestilah digunakan dengan sebaiknya kerana yang membezakan kita golongan manusia dengan haiwan adalah kurniaan Akal. Manusia dan haiwan mempunyai persamaan iaitu mempunyai nafsu, tetapi haiwan tidak mempunyai akal. Terserah kepada kita untuk menentukan kemana arah tuju dan takdir kita di hari yang mendatang.

Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close