AgamaRencana

Amalan Bulan Syaaban

[jaw_dropcap]Bulan Syaaban[/jaw_dropcap] 1436H telah tiba. Meskipun ia tidak termasuk dalam bulan-bulan haram yang mempunyai kelebihan dan kemuliaan yang tertentu, namun kehadirannya sebelum kedatangan bulan Ramadan perlu diperhatikan oleh umat Islam. Pada bulan ini, setiap muslim sepatutnya melakukan muhasabah menilik kembali segala amalan yang telah dilakukan dan membuat persiapan dan persediaan rapi bagi menyambut ketibaan bulan Ramadan yang penuh dengan tawaran ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Berikut merupakan amalan yang perlu diberi perhatian oleh setiap muslim:

  1. Memperkasa Ilmu Pengetahuan.

Setiap amalan yang dilakukan mesti berdasarkan ilmu yang yakin. Tanpa ilmu, amalan yang dilakukan tidak akan diterima oleh Allah SWT. Justeru, pada bulan ini sama-samalah kita meneliti, menelaah dan menghadiri majlis-majlis ilmu bagi menambah input dan maklumat yang berkaitan dengan urusan agama. Fakus yang khusus perlu diberikan untuk memantapkan ilmu yang berkaitan ibadat puasa dan aktiviti penghayatan Ramadan.

  1. Berpuasa.

Pada bulan Syaaban ini juga, kita hendaklah meneliti ibadat puasa kita pada tahun lepas. Bagi mereka yang berkeuzuran, puasa Ramadan tahun lepas hendaklah diqada terlebih dahulu supaya tidak dikenakan fidyah dan qada disebabkan melangkaui tahun setelah berlalu Ramadan tahun ini. Sementara mereka yang biasa berpuasa sunat boleh terus mengamalkan ibadat tersebut sepanjang bulan ini. Namun, bagi mereka tidak biasa melakukannya dilarang berpuasa sunat setelah masuk pertengahan bulan Syaaban kerana dibimbangi akan menghadapi kesulitan untuk melaksanakan puasa Ramadan.

  1. Bertaubat.

Kita dianjurkan untuk sentiasa bertaubat kepada Allah SWT daripada segala kesalahan dan dosa. Justeru pada bulan ini, tingkatkanlah amalan ini. Mudah-mudahan kedatangan Ramadan akan lebih bermanfaat kepada orang yang telah diampunkan dosanya untuk memperoleh rahmat dan pembebasan daripada azab neraka.

  1. Membaca Al-Quran.

Sebagai persiapan untuk menyambut kedatangan Ramadan yang merupakan bulan al-Quran, maka sebaiknya kita meningkatkan pembacaan al-Quran bagi dari segi kekerapan mahupun kualitinya. Kini bolehlah mengulang kaji ilmu Tajwid bagi memperbetulkan bacaan dan melancarkan sebutan supaya pada bulan Ramadan nanti bacaan al-Quran kita lebih mantap dan peluang bertadarus dapat dipenuhi dengan sempurna.

  1. Zikir, Doa dan Selawat.

Pada kesempatan bulan Syaaban ini juga kita boleh memberbanyakkan zikir kepada Allah SWT dengan memastikan zikir-zikir harian dilakukan dengan bertahlil, bertasbih, bertahmid dan lain-lain lagi. Di samping itu, doa-doa terus dipanjatkan kepada Allah SWT khususnya untuk menikmati peluang memperoleh ganjaran amalan 1000 bulan dalam bulan Ramadan. Tidak lupa juga ucapan selawat dan salam kepada Rasulullah SAW yang merupakan satu perintah daripada Allah SWT.

Semoga bulan Syaaban tidak dipandang sepi oleh umat Islam dalam usaha untuk mendapatkan reda Allah SWT. Sesungguhnya tawaran hebat yang berada dalam bulan Ramadan perlukan persiapan dan persediaan rapi. Ketakwaan bukanlah amalan bermusim, namun hakikatnya ia suatu amalan yang dilakukan secara kosisten setelah dilatih secara intensif dalam jangka waktu tertentu.Mudah-mudahan kita sentiasa menyedari perjalanan umur yang dilalui agar kelak tidak menyesal lagi.

Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close