Profil PasukanRencana

10 Komp KPD Para Kebanggaan TD

Mungkin ramai yang tidak menyedari dan tidak kurang pula yang mempunyai tanggapan bahawa apabila diperkatakan mengenai pembekalan melalui udara ruang lingkup penugasannya hanyalah terbatas kepada bidang ketenteraan di waktu perang sahaja malahan tanpa disedari bahawa pembekalan melalui udara juga telah dilakukan ke atas kerja-kerja kemanusiaan seperti menggugurkan barang-barang makanan di kem-kem pelarian atau kepada penduduk-penduduk yang mengalami masalah kebuluran dan bencana alam.  Pembekalan melalui udara adalah merupakan satu kaedah pengangkutan atau penghantaran barang dan peralatan dalam apa saja bentuk dan saiz kepada trup-trup di medan pertempuran yang mana kaedah pembekalan melalui udara adalah cara yang terbaik bagi mempercepatkan penghantaran sesuatu barang atau bekalan.

Apabila disebutkan sahaja perkataan guguran udara jelaslah terbayang kepada penggunaan payung terjun atau parachute yang merupakan gabungan dari dua perkataan iaitu para dan chute yang membawa maksud, para dalam bahasa itali bererti melindungi manakala chute pula berasal dari bahasa perancis yang membawa maksud jatuh dan apabila kedua-duanya digabungkan bererti melindungi sesuatu barang-barang yang jatuh.

Guguran melalui udara yang ulung kali dilakukan di Malaya dilaporkan pada 25 Apr 1948 iaitu semasa dalam OPS HAYSTACK yang berlokasi di bahagian utara negeri Perak oleh pihak British yang menempatkan sebuah pesawat udara dari jenis Dakota kepunyaan Royal Australian Air Force dari Skuadron No 110 di Taiping dengan tujuan untuk membantu pasukan-pasukan di bahagian utara Malaya pada ketika itu.  Organisasi pasukan tersebut kemudian berkembang sehinggakan tertubuhnya unit-unit Hantaran Udara (HU) melalui pengstrukturan semula unit-unit tersebut di bawah naungan TD yang kini ditempatkan dalam Kor Perkhidmatan Diraja (KPD).

Di era dunia tanpa sempadan kini, TD semakin pesat membangun sejajar dengan pembangunan negara.  Begitu juga dengan KPD dan tidak ramai yang mengetahui bahawa KPD mempuyai satu pasukan yang mampu dibanggakan iaitu 10 Kompeni Kor Perkhidmatan Diraja Briged Kesepuluh Infantri Para (10 Komp KPD 10 Bgd Para) yang mempunyai kepakaran dan berkemampuan melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam mengendalikan peralatan-peralatan yang melibatkan HU bagi memberi perkhidmatan kepada ketiga-tiga cabang perkhidmatan dalam ATM serta kerajaan Malaysia bagi membantu melaksanakan misi menggugurkan peralatan-peralatan samada bantuan tempur atau kemanusiaan.

Pasukan ini juga terlibat dengan pelbagai operasi dan latihan-latihan samada di dalam atau luar negara.  Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pasukan ini, ikuti temubual Wartawan BTDM, PW II Muhammad Solor Hj Ismon dan Jurugambar, Kpl Nurulhaswani Ruzaini bersama Pegawai Pemerintah 10 Komp KPD Para, Kapt Ahmad Hazri Ibrahim beserta  Kapt Mohd Hasnul Hisyam Yusuf dan PW II Mohd Khalil Shahrin bagi mengupas kemampuan dan tugas-tugas yang dilaksanakan oleh pasukan tersebut.

Pegawai Pemerintah 10 Komp KPD Para

Sejarah awal penubuhan pasukan ini bermula pada tangal 1 Jan 1980 dengan nama 22 Kompeni Angkut di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah dan pada 1 Jan 1993 pasukan ini dibubarkan dan ditukar nama kepada Komp KP 10 Bgd Para lalu berpindah ke Kem Terendak Melaka.  Selaras dengan pengstrukturan semula 10 Bgd Para, pada 1 Mei 2008 Komp KP 10 Bgd Para sekali lagi ditukar nama kepada 10 Komp KPD Para yang  terbahagi kepada Markas Komp, Sel Tadbir, Sel Latih, Sel Logistik dan Sel Gerak.

Pegawai Pemerintah, Kapt Ahmad Hazri ketika ditemui menyatakan hasrat dan wawasan 10 Kom KPD Para untuk menjadi pasukan bantuan perkhidmatan yang terlatih serta berada di tahap kesiagaan yang tinggi supaya dapat memberi bantuan khidmat kepada ketumbukan 10 Bgd Para dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang mendatang.

Misi pasukan adalah untuk memberi bantuan di dalam aspek KPD dengan cepat dan berkesan kepada pasukan-pasukan di bawah naungan 10 Bgd Para dan antara visi pasukan adalah untuk beroperasi sebagai pasukan aturgerak cepat setanding dengan pasukan lain di bawah naungan 10 Bgd Para serta berupaya melaksanakan tugas dengan mahir dan cekap, selain meningkatkan dan mengekalkan mutu disiplin anggota ditahap yang tertinggi, semangat setia kawan dan sifat kekeluargaan di antara semua peringkat anggota selain daripada menentukan segala arahan dan keperluan pihak atasan dipatuhi dalam menyediakan bantuan perkhidmatan kepada semua pasukan di bawah naungan TD selaras dengan cogankata KPD iaitu “Berkhidmat Kepada Semua”.

Logo-ATM-Kor-Perkhidmatan-DiRaja

Disamping itu, peranan pasukan ini juga adalah untuk memberi bantuan logistik merangkumi aspek bantuan kenderaan, bekalan serta penghantaran melalui udara (guguran udara/anduh bawah) dan penghantaran pesawat bagi tujuan latihan dan operasi ketumbukan 10 Bgd Para.

Manakala tugasan platun pula mengikut bahagian antaranya Platun Hantaran Udara sentiasa melaksanakan latihan secara berterusan bagi memastikan kepakaran berada di tahap yang tinggi, memastikan peralatan anduh bawah serta guguran udara dan pendaratan pesawat sentiasa berada di tahap yang terbaik. Platun Pengangkutan pula perlu memastikan pencapaian kadar boleh gerak kenderaan pasukan pada tahap 85 peratus bagi memastikan kadar kemalangan di tahap sifar pada setiap tahun dan VOR (pembaikan peringkat platun) pasukan tidak melebihi 5 peratus daripada pegangan sebilang masa.

Platun Bekalan pula berperanan melaksanakan latihan secara berterusan berkaitan dengan prinsip ulang bekal dan dokumentasi yang berkaitan serta memastikan setiap anggota memiliki pengetahuan di dalam melaksanakan operasi ulang bekal dan memahami tatacara pengendalian dokumen yang berkaitan semasa latihan dan operasi agar dapat mengawal pegangan minyak avtur peringkat Bgd.

Latihan-latihan yang sering dilaksanakan seperti EKS STALLION PACK yang menggugurkan Water Trailer, 1/4 ton Shankey Trailer dan empat buah drum (A 22 Cargo Bag), EKS TACOP iaitu mengikat dan mengugurkan HE dan CDS, EKS HORNBILL STRIKE, EKS HELANG TUAH, EKS GERAK PANTAS dan EKS LEAP TIGER yang memperlihatkan kemampuan serta keupayaan pasukan melaksanakan sesuatu guguran dari udara melibatkan aset TD.

Antara operasi yang telah berjaya dilaksanakan dan membanggakan pasukan adalah operasi kemanusian di Aceh, Indonesia selepas Tsunami membadai negara itu pada 26 Dis 2004 yang mana pasukan ini telah menggugurkan bantuan bekalan makanan, manakala bantuan operasi adalah ketika di Timor Leste yang mana pasukan mengugurkan kenderaan bantuan tempur. Penglibatan pasukan yang terbaru adalah dalam misi pencarian kehilangan pesawat MAS MH370 dengan mengikat dan mengugurkan Combat Rubber Raiding Craft (CRRC).

Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close