RencanaSejarah

Jejak Yamashita

This section contains some shortcodes that requries the Jannah Extinsions Plugin. Install it from the Theme Menu > Install Plugins.

Malayan Campaign

[dropcap]P[/dropcap]enjajahan Jepun di Tanah Melayu bermula apabila Tentera Darat Ke-25 Jepun di Tanah Melayu pada 8 Disember 1941. Tentera Jepun telah  melancarkan serangan amfibi di pantai utara, Tanah Melayu di Kota Bharu dan meneruskan kemaraan ke selatan melalui jalan darat di negeri pantai timur, Pada masa yang sama, mereka turut mendarat di di Pattani dan Singgora, Thailand dan menyeberang sempadan Thailand-Malaysia dan terus mara ke Jitra, Kedah. Mereka kemudiannya berpecah kepada dua pasukan di mana pasukan pertama menuju ke Pulau Pinang seterusnya mara ke selatan melalui persisiran pantai barat dan pasukan kedua pula menuju ke bandar-bandar utama di negeri sekitar pantai barat. Tentera Jepun telah berjaya menakluki Tanah Melayu dan Singapura pada 15 Februari 2015. Tanah Melayu telah berjaya ditawan oleh tentera Jepun dalam masa 10 minggu sahaja.

Pasukan penyerang utama Jepun pada ketika itu adalah Tentera Darat Ke-25 Jepun. Pasukan ini ditubuhkan pada 5 Julai 1941 di bawah perintah Markas Tentera Darat Imperial Jepun. Pasukan ini kemudiannya dipindahkan  kepada Tentera Darat Wilayah Ketujuh Jepun danbernaung di bawah Kumpulan Tentera Darat Ekspedisi Selatan pada 6 November 1941. Semasa penaklukan Tanah Melayu, di bawah kepimpinan Jeneral Tomoyuki Yamashita pasukan ini telah dipertanggungjawabkan sebagai pasukan penyerang utama Jepun. Semasa dalam usaha penaklukan Tanah Melayu, pasukan ini memiliki sedikit kelebihan dari segi kekuatan anggota, bantuan udara, kereta kebal penggempur yang ringan, koordinasi taktik yang baik serta pengalaman dalam Perang China-Jepun Kedua. Pasukan ini juga menggunakan infantri berbasikal dan kereta kebal ringan sebagai kaedah utama yang memberi keupayaan untuk bergerak pantas merentasi bentuk muka bumi Tanah Melayu yang diselubungi hutan hujan tropika yang tebal. Kepimpinan yang mantap dan efisyen oleh Jeneral Tomoyuki Yamashita juga merupakan salah satu faktor pasukan penyerang utama ini digeruni tentera British.

Tomoyuki Yamashita dilahirkan di sebuah perkampungan kecil bernama Osugi Mura di Pulau Shihoku pada 8 November 1885. Selepas lulus dari Akedemi Kadet pada tahun 1905, Beliau telah menghadiri Maktab Peperangan Tentera Darat Jepun bermula pada tahun 1913 hingga tahun 1916. Sekitar tahun 1919 hingga 1922, beliau telah ditugaskan sebagai Atase Pertahanan di Berlin, Jerman dan Bern, Switzerland. Pada 6 November 1941, Yamashita dilantik menjadi Panglima Ketumbukan ke-25 Tentera Jepun. Kejayaan tentera Jepun menumpaskan tentera British secara tidak langsung telah menaikkan nama Yamashita. Ini adalah kerana di bawah pucuk pimpinannya, beliau telah berjaya mengalahkan tentera British yang berkekuatan seramai 130,000 orang meskipun kekuatan tentera Jepun pada ketika itu hanya 30,000 orang. Kejayaan dan kehebatan Jeneral Yamashita telah membuatkan beliau mendapat gelaran “Harimau Malaya”.

Tentera Jepun berjaya menawan Lapangan Terbang Sungai Petani, Butterworth dan Alor Star pada 9 Disember 1941. Pada 10 Disember 1941, kapal tempur HMS Prince of Whales dan HMS Repulse telah diaturgerak menuju ke kawasan pendaratan Jepun di Kuantan. Walaubagaimanapun, akibat kelemahan taktikal tentera laut British, Tentera Jepun telah berjaya menyerang dan menenggelamkan kedua-dua kapal dalam masa yang singkat. Tentera Jepun yang mendarat di Kota Bharu telah berpecah kepada dua pasukan. Satu pasukan telah bergerak ke pantai timur menuju ke Kuantan dan satu pasukan lagi bergerak ke selatan menuju ke Sungai Perak. Pada 11 Disember 1941, tentera Jepun telah melaksanakan serangan bom ke atas Pulau Pinang. Serangan bom yang bertalu-talu setiap hari akhirnya memaksa tentera British berundur secara tergesa-gesa sehinggakan senjata, bot, bekalan, serta stesyen radio yang masih berfungsi ditinggalkan begitu sahaja dan jatuh ke tangan tentera Jepun. Pada 17 Disember 1941 tentera Jepun telah berjaya menakluki Pulau Pinang sepenuhnya.

Serangan Jepun diteruskan sehingga mereka berjaya menduduki beberapa tempat yang strategik di Bukit Jantan dan Bukit Alor iaitu dua tempat yang penting bagi pertahanan Jitra. Mejar Jeneral Saburo Kawamura, yang merupakan Pemerintah Briged Ke-9 ketika itu, telah mengarahkan pasukan di bawah pimpinan Kolonel Saeki diberikan tambahan kereta kebal dan jurutera bagi membolehkan pihak Jepun menawan jambatan Jitra sebelum tentera British meletupkannya dan turut mengarahkan Rejimen Ke-40 supaya menyerang bahagian timur jalan. Namun, serangan yang telah dilaksanakan telah gagal berikutan cuaca yang buruk. Walaubagaimanapun, pihak tentera Jepun bernasib baik kerana serangan balas pasukan Punjab tidak berhasil ekoran serangan tersebut tidak diseleras dengan baik berikutan kelemahan  sistem perhubungan tentera British. Pertahanan Jitra yang dibina selama tiga bulan musnah dalam masa lima belas jam sahaja.  Jitra jatuh ke dalam tangan Jepun pada 12 Disember 1941, dan kemudiannya Alor Star pada hari yang sama. Akibat dari penaklukan itu, tentera British terpaksa berundur ke selatan.

Menjelang minggu kedua Januari 1941, keseluruhan kawasan utara Tanah Melayu telah Berjaya ditawan sepenuhnya oleh tentera Jepun. Pada masa yang sama juga, Thailand secara rasminya telah menandatangani Treaty of Friendship dengan kerajaan Imperial Jepun bagi membentuk perikatan. Dalam perjanjian tersebut, Jepun telah membenarkan Thailand untuk menguasai kesultanan di utara Tanah Melayu bagi mengukuhkan kedudukan mereka di kawasan itu. Tentera Jepun meneruskan kemaraan mereka dan seterusnya menawan Ipoh pada 26 Disember 1941. Tentera Jepun kemudiannya terus mara menuju ke selatan dan setibanya di Kampar, mereka telah ditentang hebat oleh tentera British. Pertempuran Kampar berlangsung antara 30 Disember 1941 sehingga 2 Januari 1942. Peperangan selama tiga hari tiga malam itu akhirnya berjaya membuat tentera British berundur.

Jepun meneruskan kemaraannya dan berjaya menumpaskan tentera British di Trolak. Kepantasan tentera Jepun mengatasi pertahanan di Trolak, yang berjarak lima batu di utara Slim River telah menonjolkan kecermelangan penggunaan kereta kebal Jepun di Tanah Melayu semasa Perang Dunia II.  Tentera Jepun seterusnya mara ke Slim River untuk menghalang tentera British meletupkan Jambatan Slim River dan ketibaan mereka di jambatan lebih awal daripada yang dijangka. Tentera British yang tidak menyangka pertahanan di Trolak tumpas dalam masa yang singkat, tidak sempat bersedia untuk menghadapi serangan tentera Jepun. Tentera Jepun berjaya mematikan fius bom tersebut dan peristiwa tersebut berjaya dirakam oleh jurukamera British di mana memperlihatkan aksi seorang pegawai Jepun bernama Leftenan Watanabe melompat keluar daripada kereta kebal dan menghunus pedang lalu memotong fius bagi peletup pemusnah di jambatan itu. Pertempuran di Slim River menjadi terkenal kerana ia merupakan salah satu pertempuran yang singkat semasa Perang Dunia Ke-2 dicatatkan dalam sejarah. Pada 7 Januari 1942, dua pasukan Briged India Tentera British dipintas dalam Pertempuran Slim River dan berjaya memberikan tentera Jepun laluan mudah ke Kuala Lumpur, ibu negara Tanah Melayu. Pada 9 Januari, kedudukan pasukan British semakin terdesak dan Komander Jeneral Wavell memutuskan untuk mengundurkan keseluruhan Tentera British ke utara Johor dan meninggalkan Kuala Lumpur dan. ia tidak mengambil masa yang lama bagi tentera Jepun menakluk bandar Kuala Lumpur. Tentera Jepun telah menduduki Kuala Lumpur tanpa sebarang tentangan pada 11 Januari 1942. Pada ketika ini Singapura berada hanya kurang daripada 200 batu dari tentera penakluk Jepun.

Barisan pertahanan British telah ditubuhkan di utara Johor antara Muar di barat sehingga Segamat, dan kemudiannya sehingga Mersing di sebelah timur. Briged India Ke-45 ditempatkan di bahagian barat antara Muar dan Segamat. Pasukan Australia pula diletakkan pada kedudukan tengah dan bergerak maju ke utara dari Segamat ke Gemas . Pada 15 Januari 1942, Divisyen Ke-5 Jepun yang merupakan pasukan tentera utama Jepun telah tiba dan bertempur buat pertama kali dengan pasukan tentera Australia Divisyen Ke-8, di bawah pemerintahan Mejar Jeneral Gordon Bennett. Semasa pertempuran dengan tentera Australia, tentera Jepun telah mengalami kekalahan taktikal buat kali pertamanya, disebabkan tentangan sengit yang diberikan oleh Tentera Imperial Australia di Gemas. Pertempuran tersebut, berpusat sekitar Jambatan Gemencheh, memberikan kerugian besar kepada pihak Jepun di mana seramai 600 anggota tentera Jepun telah terkorban.

Pihak Jepun kemudiannya mengatur taktik baru dengan cara mengelilingi pertahanan pasukan Australia di barat Gemas. Percaturan tekatik yang baru itu telah menghasilkan pertempuran paling sengit dalam sejarah penaklukan Tanah Melayu. Pertempuran itu bermula pada 15 Januari di persisiran pantai barat Semenanjung Tanah Melayu berhampiran Sg Muar. Namun, kesilapan Mejar Jeneral Bennet menempatkan Briged India Ke-45 yang tidak berpengelaman dan masih mentah mempertahankan tebing selatan Sg Muar menyebabkan tentera Jepun berjaya mendarat dari laut dan memusnahkan hamper keseluruhan briged tersebut serta mengorbankan Komandernya, Brigadier Duncan.

Pihak British telah mengarahkan Batalion 2/19 dan 2/29 (sebahagian Divisyen Ke-8 Australia) bergerak ke barat, dan batalion Ke-19 bertempur dengan pihak Jepun pada 17 Januari 1942 di selatan Muar. Pasukan itu diketuai oleh Leftenan Kolonel Anderson Australian Imperial Force (AIF). Tentera India yang berundur telah bergabung dengan tentera Australia dan membentuk Pasukan Muar. Pasukan ini telah bertempur untuk membuka laluan pengunduran bagi sisa-sisa Tentera Komanwel yang berada id utara. Pertempuran ini telah menyebabkan ramai anggota pasukan ini mati dan cedera. Selepas misi untuk membuka laluan tersebut tercapai, Pasukan Muar telah berundur ke Parit Sulong. Setibanya Pasukan Muar sampai ke jambatan di Parit Sulong, mereka telah mendapati bahawa kawasan itu telah berada dalam tangan pihak musuh. Leftenan Kolonel Anderson mengarahkan anggotanya berundur dan cuba menyelematkan diri mereka masing-masing berikutan ramai anggota pasukannya mati dan cedera semasa pertempuran yang lepas. Anggota-anggota yang masih berkemampuan telah berundur ke Markas Batalion di Yong Peng dan mereka yang tercedera pula (sekitar 140 anggota) ditinggalkan atas ihsan tentera Jepun. Walaubagaimanapun, 4 orang anggota telah di seksa dan dibunuh dalam pembunuhan beramai-ramai di Parit Sulong oleh Tentera Jepun. Lt Kol Anderson telah dianugerahkan Victoria Cross bagi tindakannya semasa berundur.

Pertempuran berlanjutan sehingga 18 Januari 1942 dan pada 20 Januari, pendaratan lanjut tentera Jepun dilakukan di Endau walaupun telah menerima tentangan hebat dari serangan udara pengebom torpedo Vickers Vildebeest. Pertahanan terakhir Tentera Komanwel di Johor yang tertumpu sepanjang Batu Pahat-Kluang-Mersing telah diserang dengan sekeras-kerasnya oleh tentera Jepun. Menjelang 31 Januari 1942, keseluruhan Tanah Melayu telah jatuh ke dalam tangan Jepun.

Ekspedi Berbasikal  Jejak Yamashita

Mengimbau kembali peristiwa bersejarah ini, satu ekspidisi berbasikal telah dilaksanakan oleh Kolej Tetera Darat (KTD), Kem Segenting, Port Dickson. Ekspidisi jelajah berbasikal ini melibatkan seramai 226 peserta terdiri daripada Jurulatih Pegawai dan staf serta bakal-bakal pegawai Tentera Darat (TD). Ekspidisi yang berjarak 385 km ini, memakan masa selama sembilan hari bermula dari 23 Februari 2015 hingga 3 Mac 2015.

Pencetusan idea bagi ekspidisi ini telah diilhamkan oleh Komandan KTD, Kol Abdul Aziz Ahmad bertemakan Sejarah Perang Dunia Ke-2. Malah, pemilihan laluan bagi ekspidisi ini iaitu dari Port Dickson, Negeri Sembilan–Ulu Tiram, Johor juga adalah salah satu laluan yang sama digunakan oleh pasukan Infantri Berbasikal Tentera Darat Jepun Ke-25 yang diketuai oleh Jeneral Tomoyuki Yamashita semasa penaklukan Jepun di Tanah Melayu. Berikutan daripada itu, ekspedisi ini dinamakan “Jejak Yamashita”.

Menurut beliau, meskipun aktiviti ini dilaksanakan sempena Hari Ulang Tahun TD (HUT TD) Ke-82 namun objektif sebenar adalah untuk mendidik dan memberi pendedahan kepada bakal-bakal pegawai TD disamping membentuk semangat kerjasama antara mereka. “Sejarah Ketenteraan merupakan salah satu silibus yang terkandung dalam peperiksaan bagi kenaikan pangkat Kapt ke Mej. Justeru, dengan melalui dan merasai sendiri pengalaman ini, saya yakin bahawa bakal-bakal pegawai dapat menggambarkan peristiwa bersejarah ini dengan lebih jelas dan memabantu mereka dalam perkhidmatan pada masa akan datang”, ulas beliau lagi.

Selain itu juga, dalam perjalanan ekspidisi tersebut terdapat beberapa aktiviti Program Jiwa Murni telah dilaksanakan. Program ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara tentera dan rakyat dan dilaksanakan di Madrasah Al Ehsan di Asahan, Melaka dan Kompleks Japerun di Machap, Johor.

Salah seorang peserta, Pegawai Kadet Lee Wei Szer yang berbangsa cina berkata “Pengalaman ini merupakan pengalaman paling berharga buat saya. Malah ia benar-benar menguji daya ketahanan mental dan diri saya. Dunia ketenteraan sememangnya penuh variasi dan mempunyai keunikan tersendiri serta kejutan”. Bagi Lee, menjadi kaum minoriti bukan masalah buat dirinya. Malahan beliau tidak pernah rasa disisihkan kerana budaya ketenteraan sentiasa mengajar mereka untuk bersatu dalam apa jua keadaan tanpa mengira kaum, agama dan budaya. Beliau turut menyeru agar orang awam menyertai tentera bagi merasai keunikan yang dialaminya sendiri.

Ekspedisi Jejak Yamashita ini berjaya ditamatkan pada 3 Mac dengan jayanya dan Majlis Penutup dilaksanakan oleh Komandan KTD.

Komen Facebook
Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Close