HUTSemasa

PERUTUSAN PTD SEMPENA HUT TENTERA DARAT KE-82

Salam sejahtera dan salam 1 Malaysia.

Alhamdulillah, segala puji-pujian hanyalah untuk Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan pencipta semesta alam, salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam. Salam hormat dan salam takzim kepada seluruh warga Tentera Darat dan keluarga yang amat saya kasihi. Alhamdulillah, dengan izin dan limpahan rahmat daripada Allah Subhanahu Wata’ala jua, maka dapat kita bersama-sama berhimpun di Perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Darat yang ke-82 pada pagi ini. Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada saudara saudari sekalian kerana telah berjaya mempamerkan mutu perbarisan yangucapan4-4¬†membanggakan dan bersemangat tinggi. Pada kesempatan ini, saya dengan penuh rasa besar hati mengalu-alukan kehadiran dif-dif kehormat, khususnya mantan Panglima-Panglima Tentera Darat. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih daripada kami warga Tentera Darat di atas kesudian Tan Sri-Tan Sri melapangkan masa untuk bersama-sama menghadiri perbarisan pagi ini. Sesungguhnya, kehadiran yang berbahagia Tan Sri-Tan Sri adalah satu manifestasi kesetiaan dan sokongan yang tiada noktah kepada Tentera Darat.

Pada pagi yang bersejarah ini, genaplah usia Tentera Darat mencapai 82 tahun. Bermula dari sebuah kompeni percubaan dengan 25 orang anak watan, kini Tentera Darat telah menjadi sebuah organisasi berketerampilan tinggi. Peredaran masa 8 dekad ini telah mendewasakan Tentera Darat menjadi sebuah institusi keramat yang berupaya mempertahankan aspirasi kedaulatan dan keutuhan tanah air disamping mendokong usaha pembangunan negara. Seiring dengan sejarah pembangunan pesat negara, Tentera Darat telah melalui pembangunan dan pemodenan yang bermula dari era perang dunia kedua, darurat pertama dan kedua menentang insurgensi, konfrontasi sehinggalah penglibatan kita semasa op daulat bagi menghadapi pencerobohan di Lahad Datu, Sabah. Pada masa yang sama, Tentera Darat turut mengharumkan nama negara melalui penglibatan di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta misi bantuan kemanusiaan antarabangsa. Selain daripada menyumbangkan pemerhati tentera, Tentera Darat turut terserlah sebagai sebuah pasukan pengaman yang diterima dengan baik oleh masyarakat tempatan di mana sahaja kita diaturgerakkan. Semua ini telah mematangkan Tentera Darat supaya mampu menghadapi sebarang ancaman yang mungkin datang dari segenap dimensi dan bentuk.

Kejayaan yang kita raih ini bukan datang dengan nilai yang murah. Ianya terhasil daripada jerih perit, keringat dan titisan darah para pejuang negara terdahulu. Banyak rakan-rakan kita yang gugur jasadnya, ada kalangan menjadi cacat, isteri yang menjadi balu, anak-anak yang kehilangan tempat bergantung. Ini semua demi mempertahankan ibu pertiwi. Semoga pengorbanan ini akan dirahmati dan roh mereka ditempatkan bersama para syuhada dan solehin. Sesungguhnya, pengabdian, pengorbanan dan perjuangan mereka adalah besar, hebat dan akan menjadi pemangkin kepada kita generasi masa kini. Marilah kita bertafakur sejenak walaupun ini hanyalah hadiah kecil kita kepada mereka. Bagi yang beragama Islam, kita hadiahkan bacaan Al-Fatihah kepada rakan seperjuangan yang telah terkorban mendahului kita.  Al-Fatihah.

Mengambil kira perkembangan geo-strategik semasa dan keadaan ekonomi yang tidak menentu, Tentera Darat selaku tonggak utama pertahanan negara hendaklah sentiasa berada pada tahap kesiagaan yang tinggi. Saya percaya tidak ada di kalangan kita yang sanggup berputih mata dari membiarkan walau seinci pun tanah air kita dicerobohi. Kita tidak boleh alpa atau leka kerana terpikul di bahu kita satu tanggungjawab yang besar. Kita dilihat sebagai benteng utama pertahanan negara dan kepercayaan ini tidak harus dipinggirkan. Saya yakin kita mampu melaksanakannya, jika kita meletakkan kepentingan perkhidmatan mengatasi kepentingan peribadi. Apa juga cabaran dan halang rintangan akan kita atasi dan lalui dengan penuh tekad, penuh semangat dan penuh keyakinan. Keadaan ini juga memerlukan kita untuk sentiasa waspada dan bersedia dalam mempertahankan kepentingan nasional.

Bagi tujuan itu, kita harus menjadi sebuah ketumbukan yang versatil dan berdaya saing serta adaptabiliti yang tinggi dalam menghadapi ancaman konvensional serta ancaman bukan tradisional. Ini keperluan mutlak yang dituntut oleh negara. Justeru, kepimpinan Tentera Darat telah sepakat untuk mengekalkan cogan kata Tentera Darat Teguh Siaga, Atm Gah, Atm Perkasa pada tahun ini. Ianya adalah kesinambungan usaha dan komitmen Tentera Darat untuk mendokong aspirasi angkatan tentera malaysia serta keutuhan negara. Seiringan dengan itu, Tentera Darat turut berbangga kerana pemodenan dan pembangunan aset serta kelengkapan Tentera Darat adalah seiring dengan perkembangan teknologi semasa. Tentera Darat akan terus merancang perolehan aset dan sistem yang terkini agar kesiagaan yang dihajati akan tercapai atau dipelihara. Ini adalah usaha berterusan yang harus dilakukan mengikut parameter plan strategik Army 2 10 Plus 10 dalam menggapai Program Pembangunan Strategik 4 Dimensi Angkatan Tentera Malaysia (4D MAF).

Kita seharusnya bersama-sama menggembleng tenaga untuk meningkatkan iltizam bagi mewujudkan satu angkatan objektif. Dalam nada yang sama, dengan sokongan dan kepercayaan oleh kerajaan dan pucuk pimpinan angkatan tentera malaysia kepada Tentera Darat, matlamat ini akan tercapai dan kita adalah teras utama dalam kerangka pertahanan daratan negara. Dalam usaha berterusan menangani ancaman khususnya di timur Sabah, ketumbukan Angkatan Medan Timur terus diperkukuhkan. Usaha-usaha peningkatan Angkatan Petugas 450 sebagai sebuah operational divisyen sedang giat dirancang dan diperlengkapkan. Sebuah batalion infantri mekanize yang dilengkapkan dengan kenderaan perisai 8×8 Gempita akan ditempatkan sebagai elemen utama cegah rintang atau deterrent. Kerjasama dengan agensi-agensi keselamatan lain sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan hasrat pertahanan berlapis atau layered defence akan dapat dicapai seterusnya sebarang cubaan penyusupan dan pencerobohan dapat dicegah. Keperluan strategik dan operational ini akan dikaji keberkesanannya secara bereterusan agar apa jua ancaman di daerah berkenaan akan mampu kita tentang.

Kita ketahui bahawa negara-negara di dunia kini telah menjadi sebuah perkampungan global/global village sahaja. Ini terhasil akibat keadaan dan keupayaan teknologi maklumat dan alam siber. Yang jelas dan nyata, kedua-dua yang saya nyatakan mempunyai nilai positif dan nilai negatifnya yang tersendiri. Ke arah itu, kita perlu optimumkan aspek positif yang saya nyatakan dan pada masa yang sama mencari kaedah mengatasi agar nilai negatif dapat kita bendung. Antara yang penting dan kita semua sedia maklum adalah apabila negara dikejutkan dengan penglibatan rakyat negara ini dalam ancaman pihak yang cenderung kepada gerakan Islamic States (IS) serta anasir-anasir negatif yang lain. Saya menyeru kepada semua peringkat pemerintahan supaya terus komited untuk memberi perhatian kepada isu-isu ini dan mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengelakkan sebarang penglibatan warga kita kerana ia boleh memberi kesan kepada keselamatan negara secara umum dan integriti Tentera Darat khasnya. Kekuatan Tentera Darat dibina di atas kesatuan warganya. Kita harus perkukuhkan kesatuan ini agar anggota Tentera Darat dapat dilindungi dari tersasar. Semua peringkat harus peka dan perkukuhkan saf kita, kesatuan kita dan kekuatan kita. Tekad perjuangan dan pengorbanan kita hanyalah untuk memelihara kedaulatan dan maruah negara kita. Tiada lain kecuali hanya itu sahaja – ia adalah amanah mutlak kita.

Selain dari ketentuan Illahi, hidup atau matinya seseorang warga tentera amat bergantung kepada berapa banyak keringat yang kita tumpahkan dalam menjadikan diri sebagai satu entiti yang lengkap. Setiap detik dan ketika yang kita korbankan untuk latihan akan pastinya mengurangkan risiko kecundang dalam pertempuran. Oleh itu, saya mengkehendaki setiap lapisan pemerintahan dan setiap warga Tentera Darat membudayakan latihan sebagai rukun ketenteraan yang tidak terpisah. Marilah sama-sama kita menjiwai sekaligus menjadi warga Tentera Darat yang digeruni dan dihormati. Ia adalah sebaik-baik kebaikan yang boleh kita berikan dan saya yakin warga Tentera Darat akan mendapat limpahan manfaatnya.

Aspek ini turut dinyatakan di dalam Surah Al-Anfal ayat 60, iaitu kita perlu berlatih dan bersiap. Ia selari dengan kehendak kita, maka hendaklah kita terjemahkannya sebagai pembudayaaan latihan yang berterusan tanpa kompromi. Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati, aset terpenting Tentera Darat adalah setiap jiwa dan setiap insan yang ada di dalamnya. Ini saya tekan dan ingatkan bahawa tiada seorang pun dari kalangan kita ini diundang menjadi perajurit negara. Kita sendiri yang memilih untuk berkorban demi bangsa dan kedaulatan negara ini. Saya telah nyatakan dahulu bahawa untuk menjadi sebuah organsasi yang mampan, warganya harus bersatu kukuh.

Ingin saya tegaskan lagi bahawa seorang warga Tentera Darat hendaklah menanamkan etos ketenteraan dan berpegang teguh kepada nilai-nilai murni ketenteraan. Hanya dengan kekuatan ini, teras kesatuan dan persatuan dapat kita bina dan dirikan dengan kukuh. Modal insan adalah aset ternilai yang diamanahkan kepada saya. Akan saya pastikan dengan segenap kudrat yang ada agar setiap orang di kalangan saudara dan saudari mendapat yang terbaik, baik dari segi latihan, kemahiran, kelengkapan serta kesejahteraan keluarga. Tentera Darat akan sentiasa memberikan tumpuan khusus kepada pembangunan modal insan. Dalam konteks ini, saya berkehendakkan pembangunan sumber manusia mestilah berteraskan kepada pengukuhan berterusan nilai-nilai kekuatan mental dan spiritual. Kekuatan ini harus digilap dan diperkukuhkan.

Semangat jitu yang ditonjolkan oleh anggota-anggota Tentera Darat yang bertugas semasa banjir tempohari ketika rumah serta keluarga mereka sendiri juga turut ditimpa musibah harus diteladani. Saya begitu terharu dengan pengorbanan mereka. Hanya Allah Subhanahu Wata’ala sahaja yang mampu membalas khidmat bakti yang dicurahkan.

Dalam nada yang sama, saya amat yakin pembangunan modal insan Tentera Darat berada di landasan yang kukuh serta ianya tidak mudah dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif serta anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab. Ikrar dan sumpah kita perlu dihayati dan disematkan secara menyeluruh. Bagi tujuan tersebut, saya mahukan penekanan kepada pembinaan keterampilan anggota melalui kursus-kursus kerjaya dan fungsional. Dengan itu, saya berkehendakkan agar kursus-kursus ini disemak dan dikaji agar memenuhi keperluan kini dan akan datang. Semua template kursus-kursus, pendekatannya dan material hendaklah diolah dan digubah agar memenuhi apa yang saya nyatakan. Ini termasuklah mendapatkan pengiktirafan kepada kursus yang sesuai terutamanya bagi anggota PTT Kanan agar mereka marketable apabila tamat perkhidmatan nanti.

Aspek pengurusan logistik telah saya tegas dan nyatakan secara elaborate sewaktu perutusan hari ulang tahun yang lalu. Saya lihat terdapat perubahan tetapi perubahan ini masih perlahan. Pengurusan setiap harta atau aset masih belum menyeluruh. Pembudayaan penyelenggaraan juga harus dipertingkatkan. Kedua-dua ini jika dilaksanakan dengan baik akan menyumbang kepada pembangunan dan kesiagaan aset yang optimum. Ini adalah kerana, pengurusan logistik melibatkan peruntukan kewangan yang tinggi.

Akibat daripada kekangan peruntukan maka kita perlu uruskan peruntukan dengan baik. Kita perlu kreatif, kita perlu berhemah dan harus menentukan setiap sen atau ringgit yang dibelanjakan sesuai dengan nilai bayaran yang dibuat. Perbelanjaan yang tidak perlu, harus dikurangkan agar peruntukan yang terbatas ini dapat kita optimumkan hanya untuk kesiagaan, keperluan operasi dan menyediakan modal insan yang terampil dan berkemahiran tinggi. Para Panglima dan pengurus kewangan mempunyai amanah yang berat untuk dilaksanakan. Dalam nada yang sama, Tentera Darat akan menilai semula keutamaan kupayaan angkatan tanpa menjejaskan kesiagaan aset-aset dalam perkhidmatan.

Sekali lagi saya tegaskan, kita harus kreatif dalam menangani kekangan-kekangan seumpama ini. Dalam hal yang sama, saya tegaskan kembali bahawa saya berkehendakkan semua lapisan pemerintah serta warga Tentera Darat sebatikan budaya senggaraan. Apalagi dalam keadaan kekangan peruntukan. Sama-samalah kita bergerak pantas dan komited kerana ini adalah inti penting kepada Tentera Darat dalam menentang atau menghadapi sebarang cabaran. Kita akan lumpuh jika kita gagal.

Tentera Darat sebagai sebuah organisasi yang dilihat sebagai satu struktur yang mampu melaksanakan apa jua tugas yang diberikan. Tentera Darat distrukturkan sebagai sebuah angkatan perang tetapi dengan apa yang kita miliki, kita mampu mengembangkan tugas melaksanakan tugas sekunder sebagai amanah masa aman dengan cemerlang.

Program jiwa murni adalah sinonim dengan tentera semenjak dari dahulu lagi. Sejarah telah meletakkan kita sebagai sebuah organisasi yang membantu pembangunan negara melalui program jiwa murni. Kita harus bangga kerana program berpaksikan keselamatan dan pembangunan telah diterima pakai sebagai satu falsafah oleh kerajaan. Melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), Tentera Darat telah kembali memainkan peranan dalam membantu pembangunan negara terutamanya di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Tentera Darat telah banyak menyumbang dalam pembinaan rumah-rumah, jalan-jalan raya, membina jambatan, membekalkan air bersih serta lain-lain bantuan.

Keringat dan tenaga tuan-tuan telah menjadi jambatan kepada kepercayaan masyarakat terhadap Tentera Darat. Saya yakin setiap keringat yang gugur dalam menghulurkan bantuan ini akan diterima sebagai satu amalan baik oleh tuhan yang maha kuasa. Para perwira serta perajurit sekalian, saya bagi pihak seluruh barisan warga Tentera Darat melafazkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Tentera Darat juga melafazkan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan yang memerintah.

Ucapan jutaan penghargaan juga dizahirkan kepada Menteri Pertahanan, Timbalan Menteri Pertahanan, Panglima Angkatan Tentera dan keseluruhan warga Kementerian Pertahanan di atas segala sokongan dan kerjasama yang telah dihulurkan kepada Tentera Darat. Ucapan yang sama saya panjangkan kepada perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta agensi-agensi kerajaan, swasta, NGO-NGO dan juga pihak media yang menjadi pendamping penting kepada keberadaan Tentera Darat. Saya serta seluruh lapisan warga Tentera Darat juga ingin sekali lagi merakamkan penghargaan kepada mantan Panglima-Panglima Tentera Darat di atas segala sumbangan dan pengorbanan sepanjang perkhidmatan di dalam membentuk sebuah ketumbukan kompeten dan cemerlang. Insya Allah kami akan terus mengolah dan mencorakkan Tentera Darat menjadi organisasi berketerampilan dan sekaligus meninggalkan legasi kepada pewaris akan datang. Legasi kecemerlangan yang diwasiat dan diwariskan kepada kami akan kami kekalkan. Dengan penuh iltizam dan janji kami adalah menyerahkan kepada pewaris akan datang dalam bentuk dan keadaan yang terbaik.

Di kesempatan ini juga, Tentera Darat mengucapkan setinggi penghargaan kepada pimpinan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Darat dan seluruh ahli-ahlinya. Mereka bukan sahaja bertanggungjawab memelihara suami dan rumah tangga, tetapi mereka juga memastikan kebajikan ahli keluarga Tentera Darat berada dl tahap tertinggi. Pengorbanan serta sumbangan mereka tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Mereka srikandi yang telah secara langsung mengukuhkan keberadaan Tentera Darat. Semoga dokongan berterusan mereka ini disempurnakan Allah Subhanahu Wata’ala dan mendapat imbuhan pahala dari-Nya.

Kita bersyukur kepada Illahi kerana dikurniakan kenikmatan hidup di bumi bertuah ini, negara di mana kita dilahirkan, dibesarkan dan terus menikmati kehidupan yang selesa dalam mengecapi keamanan serta kemakmuran yang telah dibina oleh keringat dan darah para perwira dan pahlawan terdahulu. Kita bersyukur kepada Illahi kerana dipilih di kalangan rakyat negara ini untuk menabur khidmat bakti demi kedaulatan dan keutuhan pertiwi. Di hari dan tempat yang penuh bersejarah ini, pada tanggal ulang tahun ke-82 Tentera Darat, saya mengajak saudara-saudari warga Tentera Darat agar memperbaharui ikrar dan iltizam untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi dan komitmen yang padu. Kita akan bersama-sama terus memperkasakan dan meningkatkan kesiagaan Tentera Darat pada sebilang masa.

Marilah kita bersatu tekad, berganding bahu bersama-sama meneruskan usaha-usaha murni dalam meletakkan Tentera Darat di persada kegemilangan. Setiap derap langkah kita hendaklah disusun kemas, jitu dan penuh komitmen agar segala yang dirancang dapat direalisasikan dengan cemerlang. Insya Allah. Marilah perwira, marilah bintara, marilah pertanda dan marilah prajurit sekalian. Kita bulatkan tekad dan genggam janji untuk jadikan Tentera Darat teguh siaga agar ATM gah dan ATM perkasa. Sekian terima kasih dan salam sejahtera.

Tag
Seterusnya

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close